ADAT BERSENDI HUKUM, HUKUM BERSENDI SYARAK, SYARAK BERSENDI KITABULLAH!

Followers

Thursday 21 March 2013

PANAS!! Pengganas Sulu Mengaku Di Upah Ceroboh Sabah!!

TS Sabah (Al-Kahfi)
tenterasabilbliggers@gmail.com

Lahad Datu, 20 Mac - Dua daripada lapan lelaki pengikut kumpulan pengganas Kiram yang menceroboh negeri ini, berhadapan dengan hukuman mati apabila mereka didakwa di sini hari ini atas pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Kedua-duanya, Basad Manuel dan Atik Hussin didakwa mengikut Seksyen 121 yang dibaca bersama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang membawa hukuman mati.

Enam lagi iaitu Holland, Lin Saleh, Timhar, Habil, Kadir Buyong dan Lating didakwa mengikut Seksyen 130K(A) kanun tersebut yang membawa hukuman penjara seumur hidup.

Kelapan-lapan mereka yang berumur antara 17 hingga 66 tahun itu ialah antara 108 individu dari selatan Filipina yang ditahan di bawah SOSMA dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna sejak 12 Februari lalu.

Pertuduhan asal dalam bahasa Melayu kemudian diterjemah ke dalam dua bahasa iaitu Bajau dan Suluk. Tiada pengakuan direkod di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amelati Parnell, yang bersidang sebagai Majistret.

Mereka didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Tawau. Walau bagaimanapun sehingga petang ini tiada tarikh ditetapkan untuk sebutan semula kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Datuk Nordin Hassan dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar, kedua-duanya dari Pejabat Peguam Negara Putrajaya.

IPD Lahad Datu, khususnya bangunan yang menempatkan lokap tahanan yang dihuni lapan tertuduh itu dikawal ketat oleh polis lengkap bersenjata dan memakai baju kalis peluru sejak awal pagi.

Kira-kira pukul 9.30 pagi, empat trak polis memasuki pekarangan IPD tanpa membawa tahanan dan pada ketika ini, para wartawan yang turut berlegar di luar bangunan itu, diarah ke bangunan pentadbiran yang bertentangan.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail tiba di IPD itu kira-kira pukul 11.30 pagi dan dibawa masuk ke bangunan yang menempatkan pejabat pentadbiran.

Kira-kira pukul 1.30 petang, kelapan-lapan tertuduh yang memakai baju dan seluar lokap berwarna ungu, berkaki ayam dan kepala mereka ditutup dengan kain hitam, dilihat dibawa keluar dari IPD Lahad Datu dengan kawalan ketat pasukan keselamatan.

Insiden pencerobohan pengganas Kiram sejak 12 Februari lalu, sehingga kini mengorbankan 10 anggota keselamatan terdiri daripada lapan anggota polis dan dua tentera.

Pada 5 Mac, pasukan keselamatan melancarkan gerakan ofensif memerangi kumpulan bersenjata itu yang berkubu di Kampung Tanduo di sini dan sehingga hari ini, operasi menggeledah dan pembersihan secara menyeluruh di kawasan Tanjung Batu masih diteruskan bagi memburu saki-baki kumpulan militan itu.

Sehingga kini, 62 pengganas Kiram ditembak mati manakala 108 ditahan di bawah SOSMA kerana disyaki mempunyai kaitan dengan pengganas dan 256 individu lain ditahan kerana memasuki zon merah dan pelbagai kesalahan lain.

Sumber - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Setiap komentar atau pendapat yang dilontarkan adalah tanggungjawab sendiri dan tidak mempunyai kaitan dengan Tentera Sabil Bloggers. Terima Kasih